tg-me.com/tarbiyahfillah/2554
Last Update:
MENUNTUT ILMU WAKTU MUDA SEBELUM TIBA WAKTU TUA
Dua kalam hikmah daripada dua orang guru ini sangat bermanfaat bagi para penuntut ilmu yang berusia muda:
1) Kalam Syeikh Dr. Hisyam al-Kamil Hamid Musa al-Azhari hafizahullah:
من فاته العلم في الصغار ، صعب له أن يدرك العلم في الكبار
“Barangsiapa yang mensia-siakan untuk menuntut ilmu di waktu mudanya, maka susah baginya kelak untuk mendapatkan ilmu ketika tiba waktu tuanya.”
2) Kalam Baba Faisal Abdul Rahman ad-Dalawi al-Fathani hafizahullah:
التعلم في الصغر كالنقش على الحجر والتعلم في الكبر كالنقش على الماء
“Menuntut ilmu di waktu muda seperti mengukir atas batu (melekat). Menuntut ilmu di waktu tua seperti mengukir atas air (hilang).”
Imam az-Zarnuji rahimahullah juga menyebut dalam kitabnya, Ta’lim al-Muta’allim pada fasal waktu penghasilan ilmu bahawa masa yang afdhal bagi orang muda ialah pada waktu sahur dan waktu antara maghrib dan isyak. Penuntut ilmu itu sepatutnya menyibukkan segala waktunya dan apabila jemu dengan suatu ilmu maka berpindahlah kepada ilmu yang lain.
Para ulama’ terdahulu manfaatkan waktu muda untuk menuntut ilmu bersungguh-sungguh selama berpuluh-puluh tahun. Apabila sudah tua atau sudah sampai waktunya maka merekalah yang menjadi penyuluh cahaya ilmu buat masyarakat di tanah air.
Sebab itu Imam asy-Syafi‘ie rahimahullah menyebut bahawa di antara 6 syarat untuk mendapatkan ilmu ialah dengan memerlukan tempoh masa yang lama (طول الزمان).
Kita sering menyebut untuk mencontohi dan meneruskan perjuangan dakwah Tuan Guru sekian dan sekian tetapi kita tidak mencontohi perjalanan mereka sepanjang proses menjadi seorang ulama’ iaitu menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.
Usah berharap buah durian menjadi manis andai ditanam hanya beberapa hari. Mohon maaf jika diri ini ada salah dan silap. Pesanan buat diri saya juga.
Muhammad Harith Osman
19 Jun 2020.
#PenaUkhrawi
BY TarbiyahFillah🌼
Warning: Undefined variable $i in /var/www/tg-me/post.php on line 280
Share with your friend now:
tg-me.com/tarbiyahfillah/2554